Asal-Usul Nama Daerah Temerloh. Kenapa Ianya Diberi Nama Temerloh?

Asal-Usul Nama Daerah Temerloh. Kenapa Ianya Diberi Nama Temerloh?

Kali ni saya nak kongsi sedikit sejarah tempat kelahiran atau salah satu daerah di Negeri Pahang iaitu Temerloh. Bagaimana ianya diberi nama? Kenapa Temerloh dan sebagainya.

Perkongsian ini merupakan sumber asal daripada Perbadanan Muzium Negeri Pahang dan kemudian dikongsikan oleh Unit Multimedia daripada Yayasan Pahang. Jadi sumber yang boleh dipercayai.

Mungkin ada nak tahu apa maksud disebalik nama Temerloh. Biasa kalau orang dengar Temerloh pasti dikaitkan dengan ikan patin. Itu tak boleh lari dah. Lagi pun memang disini dimana-mana kedai pasti ada menu ikan patin masak tempoyak ni.

Tapi kenapa Temerloh tidak dinamakan sempena nama ikan patin, Daerah Patin? Tetapi hanya hanya gelaran disebalik bandar sahaja yang disebut sebagai Temerloh Bandar Ikan Patin. Banyak persoalan yang mungkin kita boleh tahu selepas ni.

Antara inisiatif yang baik oleh pihak Perbadanan Muzium Negeri Pahang dan Yayasan Pahang berkongsi maklumat ini. Bukan sahaja dikongsikan asal usul nama Temerloh tetapi untuk seluruh daerah di Negeri Pahang.

Negeri Pahang merupakan negeri terbesar di Semenanjung Malaysia yang mana didalamnya mempunyai 11 daerah dan setiap daerah mempunyai keunikan masing-masing. Setiap daerah ada sebab dan asal-usul namanya.

Asal-Usul Nama Daerah Temerloh

Asal-Usul Nama Daerah Temerloh. Kenapa Ianya Diberi Nama Temerloh?

Temerloh merupakan sebuah daerah dan bandar yang maju dan tersusun. Lokasinya di Pahang Tengah dan merupakan pusat pertemuan di antara kawasan Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Daerah ini bersempadan dengan daerah Jerantut di utara, daerah Raub di barat, daerah Maran di timur, serta daerah Bentong dan Bera di selatan. 

Temerloh juga terkenal dengan gelaran 'Bandar Ikan Patin' kerana spesis ikan ini banyak terdapat di sini, memandangkan bandar utamanya yang terletak di tepi Sungai Pahang. Lokasinya juga yang terletak betul-betul di tengah Semenanjung Malaysia membuatkan daerah ini mendapat gelaran 'Titik Tengah Semenanjung'. Secara lebih tepat lagi Kampung Paya Siput yang terletak di dalam daerah ini telah diiktiraf secara rasmi sebagai titik tengah Semenanjung oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.

BACA : Datang Temerloh Nak Bercuti Dimana? Ikuti Senarai Tempat Menarik Di Temerloh

Daerah Temerloh terdiri daripada 10 buah mukim iaitu Bangau, Jenderak, Kerdau, Lebak, Lipat Kajang, Mentakab, Perak, Songsang, Sanggang dan Semantan. Daerah ini mempunyai 234 buah kampung tradisional yang ditadbir oleh 83 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Selain itu terdapat 6 buah kampung baru Cina dan 7 buah Rancangan Pembangunan Tanah FELDA iaitu Felda Jenderak Utara, Jenderak Selatan, Jengka 25, Jengka 22, Jengka 23, Felda Lakum dan Felda Bukit Damar.

Sejarah

Daerah Temerloh mempunyai latar belakang sejarah yang menarik dengan melahirkan beberapa orang tokoh penting dan terkenal dalam negara seperti Dato’ Bahaman, Ibrahim Haji Yaakob dan Ishak Haji Mohamad (Pak Sako). Perkembangan bandar Temerloh bermula dari kawasan kuala Sungai Semantan. Menurut budayawan Dato’ Haji Zakaria bin Hitam, Kuala Semantan adalah nama asal sebelum ditukar kepada Temerloh. Kuala Semantan pada asalnya merupakan sebuah kampung tua yang terletak di tanjung sebelah kanan kuala Sungai Semantan yang bertentangan dengan Kampung Bangau Parit.

Nama Temerloh dikatakan berkaitan dengan peristiwa yang berlaku di Kuala Semantan. Pak Zek menceritakan bahawa ia berpunca dari perkataan ‘mereloh’ yang bererti tidur

Ini berdasarkan satu peristiwa yang berlaku di anak sungai di kiri hilir Sungai Pahang yang bertentangan dengan Pulau Temerloh. Pada suatu hari ada seorang Minangkabau mendarat di kuala anak sungai itu. Semasa beliau berada di kampung tersebut, beliau melihat seorang Orang Asli yang asyik mereloh sepanjang hari tanpa mempedulikan hal-hal lain. Dari peristiwa itu terbitlah perkataan Temerloh yang kemudiannya diambil untuk menamakan daerah tersebut apabila ia dijadikan daerah baru pada tanggal 1 Julai 1889. E.A. Wise telah dilantik sebagai pentadbir British yang pertama bagi jajahan Temerloh.

Sebelum ketibaan peneroka dari luar, daerah Temerloh merupakan kawasan yang didiami oleh kelompok-kelompok Orang Asli dengan beberapa penempatan kaum asal ini masih wujud sehingga kini. Sekitar tahun 1620an, adalah dipercayai kumpulan keluarga bangsawan dan penduduk dari Kerajaan Acheh yang sedang menakluk negeri Pahang telah meneroka kawasan di pinggir Hulu Sungai Pahang. Beberapa penempatan baru telah dibuka oleh kumpulan masyarakat Minangkabau ini seperti Chenor, Kuala Bera, Kuala Triang, Kampung Mengkarak dan Lebak.

Penerokaan dan pembukaan penempatan di kuala Sungai Semantan oleh masyarakat Minangkabau telah menarik minat lebih ramai masyarakat lain untuk berhijrah ke sini. Selain bermastautin, masyarakat ini juga telah membuka pusat pengajian agama Islam dan pusat peniagaan yang penting di kuala Sungai Semantan. Selain dari penduduk sekitar, peniaga dari Ulu Pahang, Kelantan, Raub, Bentong serta dari penempatan-penempatan hilir Sungai Pahang telah menjadikan kuala Sungai Semantan sebagai pusat perniagaan yang penting. Rentetan dari itu, adalah dipercayai sebutan ‘Temerloh’ mula digunakan oleh para peniaga dan penduduk yang merujuk kepada sebutan ‘Mereloh’.

BACA : Sejarah Pekan Sehari Temerloh

Perkembangan penempatan dan pusat perniagaan di Temerloh semakin berkembang dengan ketibaan lebih ramai penduduk di sekitar Nusantara. Dipercayai urusan perniagaan ketika itu telah menggunakan matawang tempatan sendiri yang diberi nama Nukud Semantan. Kemajuan penempatan ini juga dipengaruhi oleh kemakmuran dan struktur pemerintahan beraja yang diamalkan di negeri Pahang. Jawatan-jawatan pemimpin masyarakat seperti Orang Kaya Indera Segara Temerloh, Orang Kaya Berlapan, Orang Kaya Enam Belas dan Penghulu adalah wakil kepada institusi pemerintahan beraja di sekitar Temerloh.

Penerokaan telah dilakukan oleh para penduduk dengan membuka penempatan baru di sepanjang Sungai Semantan seperti di Songsang, Pasir Rawa, Lubuk Terua sehingga ke sempadan Bentong. Manakala penempatan yang lebih kemudian adalah di sepanjang Sungai Pahang seperti Kampung Bangau, Kampung Sanggang, Kampung Berhala Gantang, Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau sehingga ke Lubuk Perlang.

Ketibaan British di negeri Pahang telah mengubah landskap penempatan dan kemajuan daerah Temerloh. Melalui sistem pentadbiran Residen British dan penggunaan Sistem Torrens dalam pentadbiran tanah, daerah Temerloh telah diwartakan dan pentadbiran daerah dan tanah dipecah-pecahkan dan dibahagikan mengikut mukim. Walaupun di peringkat awal pengenalan sistem ini pihak British mendapat tentangan dari masyarakat tempatan namun lama-kelamaan ia telah diterima pakai dan kekal digunakan sehingga ke hari ini.

Asal Usul Nama Daerah Negeri Pahang Yang Lain

Kuantan

Pekan

Maran

Jerantut

Lipis

Cameron Highlands

Raub

Bentong

Temerloh

Rompin

Bera


sumber : Yayasan Pahang dan Perbadanan Muzium Negeri Pahang

2/Post a Comment/Comments

  1. tak pernah sampai lagi ke Pahang. banyak tempat menarik di sana :) ♕Tiara Sapphire♕

    ReplyDelete
  2. Panjang kisahnya. Asal perkataan mereloh rupanya.

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post