Itinerari Trip Bercuti Ke Vietnam (Ho Chi Minh) Selama 4 Hari Tahun 2023

Itinerari trip ke Ho Chi Minh Vietnam

Seperti biasalah, kalau dah travel ke luar negara, aku akan kongsikan pengalaman termasuk itinerari sepanjang bercuti. Jadi baru-baru ni aku sempat ke Vietnam dan secara khusus ke Ho Chi Minh City selama 4 hari 3 malam.

Untuk aku pergi ke negara Asia Tenggara yang tidak terlalu jauh ni, boleh buat persediaan untuk beberapa minggu sahaja. Plan aku untuk travel ke Ho Chi Minh ni hanya ambil masa sebulan sahaja, itu pun bagi mengelakkan tiket flight dan hotel jadi lebih mahal kalau plan last minit.

Sebenarnya percutian aku ni dah berbunyi sejak 2022 lagi, atas desakan kawan yang katanya nak sangat pergi Vietnam, sebab nak cuba kopi vietnam authentic dari sana. Tokey kopi vietnam kat Temerloh, jadi kena la rasa yang original di sana.

Tapi masa tu, tengah plan untuk percuti ke Korea bersama family. Jadi rancangan tersebut, terpaksa ditangguh dulu. Sepanjang tempoh tersebut hingga Mac, aku fokus untuk Seoul, Korea sahaja. Nak tahu info penuh, boleh tengok perkongsian itinenrari ke Seoul, Korea untuk 6 hari disini.

Di Vietnam, banyak daerah yang menarik untuk dilawati. Kami pilih Ho Chi Minh City, sebab ianya tempat paling mudah orang Malaysia untuk dilawati. Makanan halal, tempat-tempat menarik, komunikasi yang kesemuanya mudah sahaja.

Jadi kami rancang untuk pergi ke Ho Chi Minh, Vietnam pada 7 hingga 10 Jun 2023, iaitu selepas habis cuti sekolah pada minggu sebelumnya.

Keperluan Wajib

Untuk ke negara Vietnam, tiada apa-apa dokumen wajib yang anda perlu bawa atau sediakan kecuali tiket flight dan passport dengan tempoh yang sah sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum terbang.

Di airport, dieorang tak cek vaksin ke passport vaksin ke apa semua tu. Jadi masuk mudah sahaja, pastikan ada passport dan boarding pass masa di KLIA Terminal 2. Sampai kat Vietnam, bagi je passport dan setel.

Tukaran Mata Wang

Untuk bulan Jun 2023, tukaran mata wang Vietnam Dong (VND) kepada Malaysia Ringgit (MYR) adalah 10,000 VND = RM1.97. Tapi kesemua harga Dong dalam artikel ini, aku genapkan kepada RM2.00 sahaja. Senang kira.

Untuk trip kali ini, aku tukar siap-siap di Malaysia. Untuk di Bandar HCM sebenarnya, anda boleh gunakan duit RM kita tau. Senang nak shopping. Biasanya guna Dong masa nak makan sahaja. Nak shopping boleh guna Ringgit Malaysia kita. Mereka terima sahaja.

Total Kos Perbelanjaan Di Ho Chi Minh City, Vietnam

Sebelum kita pergi ke itinerari, aku nak kongsikan jumlah keseluruhan perbelanjaan selama berada di Ho Chi Minh termasuk tiket kapal terbang, pengangkutan, penginapan, aktiviti, tempat lawatan, makan dan beberapa benda lain lagi.

i)  Tiket Kapal Terbang

Salah satu sebab kami terjah je ke Vietnam ni, tengok tiket flight dalam tiga ratus lebih sahaja. Aku ambil Air Asia dengan harga RM340 return seorang. Itupun aku add on untuk beg 20kg. Kalau tidak, lagi murah sikit.

Anda boleh semak setiap hari tiket flight Air Asia ni website sahaja. Lebih mudah. Sudah pastinya, beli lebih awal, boleh dapat tiket lagi murah. Boleh beli tiket di website Air Asia di www.airasia.com. Tapi sebagai alternatif boleh juga beli di website MAS www.malaysiaairlines.com/my

ii)  Kos Pengangkutan

Sepanjang di Ho Chi Minh City ni, aku tak naik train sahaja. Dari motor, kereta, bas, van, kapal terbang hingga ke bot dan sampan pun aku naik. Tiada spesifik kad digunakan. Nak naik bas, beli tiket pada konduktor bas. Motor dan kereta guna Grab dan Gojek. Naik sampan dan bot, ianya diuruskan oleh tour guide.

Mula-mula naik bas airpot, 5000 VND (RM1.00) sehala. Kemudian naik Gojek dua kali dengan harga 15,000 VND (RM3.00) x 2 = RM6.00. Untuk bergerak ke airport semula, naik Grab dengan harga 131,000 VND (RM25.00). Daftar Grab Luar Negara Disini. Untuk bot dan sampan, ianya termasuk dalam tour.

Jadi untuk keseluruhan kos pengangkutan ketika berada di Ho Chi Minh adalah RM32.00 seorang. Selebihnya banyak jalan kaki sahaja. Mudah

iii)  Kos Penginapan

Di sana, kami menginap di hotel selama 4 hari 3 malam iaitu di Hotel Aluna Ben Thanh. Lokasinya betul-betul terletak dalam Lorong Malaysia. Jadi banyak kemudahan yang disediakan dan paling best tempat makan halal dekat dan tempat shopping pun dekat.

BACA : Senarai Hotel Berada Dalam Lorong Malaysia Di Ho Chi Minh, Vietnam

Selain lokasi yang strategik, hotel ini juga diberi sijil halal. Jadi anda tidak perlu risau kalau nak breakfast kat sini. Semua boleh makan tanpa ragu-ragu. Selain itu juga, dalam bilik pun ada disediakan tanda kiblat tau yang berada di dalam laci.

Menginap di Aluna Ben Thanh Ho Chi Minh Vietnam

Overall bilik luas untuk dua katil single. TV banyak gila siaran sehingga 100 channel. TV1 pun ada. Ada sediakan selipar, peti ais, hair dryer, kettle dan sebagainya. Cukup semuanya. Iron sahaja kena request, nanti dia hantar ke bilik. Semua ok, tapi ada 1 je tak best iaitu tekanan air. Slow sikit la. Tak syok nak mandi. Itu sahaja.

BACA : Review Lengkap Dan Pengalaman Bermalam Di Aluna Ben Thanh Hotel

Harga untuk 3 malam adalah RM480 termasuk breakfast. Kita-kira RM240 seorang. Sangat recommended untuk hotel Aluna Ben Thanh ni. Aku booking dari Malaysia sahaja secara online di Agoda.com.

iv)  Kos Makan

Kami tak bawa makanan dari Malaysia. Sebab di Lorong Malaysia ni, banyak kedai makan halal dan tiada masalah kalau perut lapar baik dari pagi sampai malam.

Untuk makan, aku peruntukkan RM50 sehari untuk 2 kali makan. Breakfast disediakan di hotel. Jadi makan tengah hari dan malam sahaja. Kemudian banyak juga la cuba try test kopi vietnam di sana. Ada cuba di tepi-tepi jalan. Ada cuba di 21 grams cafe dan macam-malam lagi.

Cuba makanan best di Ho Chi Minh Vietnam

Secara total, yang berbayar, makan sebanyak 4 kali sahaja. Jadi lebih RM150 seorang untuk makan.

Untuk perbandingan, nasi goreng kampung dia harga RM17.00. Air kopi vietnam, boleh dapat RM4 sahaja. Tak sampai ke RM50 sehari sebenarnya.

iv)  Kos Aktiviti & Tempat

Banyak tempat-tempat menarik untuk dilawati disana adalah masuk secara percuma. Aku hanya bayar untuk Tour Sungai Mekong dan masuk Independence Palace. Untuk aktiviti di Sungai Mekong, all-in dan hanya perlu bayar RM75 sahaja. Untuk Independence Palace masuk kena bayar 40,000 Dong (RM7.80).

Jadi jumlah keseluruhan untuk kos aktiviti dan tempat yang kena bayar adalah RM82.80 sahaja untuk seorang

vi)  Lain-Lain Kos

Untuk lain-lain kos tambahan adalah seperti berikut:

  • Takaful TripCafe 360 untuk individu = RM16.05 seorang. Boleh tengok sini.
  • Sim Card untuk internet = RM25 seorang. 6gb sehari untuk tempoh 30 hari. Aku beli pada tour guide sahaja. Mudah. Nak beli di shopee, boleh tengok sini.

TOTAL KOS - Jadi jumlah kos dan perbelanjaan trip dan percutian aku ke Ho Chi Minh, Vietnam kali ini tidak termasuk duit shopping adalah RM885.85 seorang. Itulah lebih kurang.

Kalau masuk duit shopping, boleh dah RM1,000 all-in.

Sebagai penambahan, anda juga boleh gunakan Kad BigPay di Vietnam. Tiada masalah. Kadar tukaran wang asing dia lagi rendah daripada kad kredit aku. Mana yang masih belum ada, boleh daftar sekarang disini secara percuma. Masukkan kod 0LMZHKVZ3T untuk dapatkan RM5.00.

BACA : Kelebihan Menggunakan BigPay

Itinerary Trip Di Ho Chi Minh, Vietnam

Walaupun berada di Vietnam selama 4 hari. Tetapi hanya 2 hari sahaja berada sepenuhnya di sana. Pada hari pertama, flight kami adalah pada jam 3.00 petang dan tiba di Ho Chi Minh pada pukul 6.00 petang. Jadi malam tersebut, hanya jalan disekitar Lorong Malaysia sahaja.

Manakala waktu pulang, flight adalah pada pukul 1.30 petang. Jadi kami bergerak ke Tan So Nhat International Airport pada pukul 10.00 pagi. Perjalanan ambil masa 40 minit sahaja. Jadi hanya 2 hari penuh sahaja kami berada di Ho Chi Minh City.

Day 1 (7 Jun 2023 - Rabu)

Ini sebenarnya pengalaman kali pertama, aku bawa kawan ke luar negara sendiri. Member pula first time. Jadi memang tiada bantuan kalau apa-apa masalah berlaku. Tapi Alhamdulillah, all is well. Mudah sangat masuk Vietnam ni.

Flight kami tiba di Airport Saigon pada pukul 5.00 petang dan terus bergerak ke sebuah bas bernombor 152 yang terletak di bahagian hujung belah kanan airport. Bas tersebut warna biru. Naik sahaja dan bagi tahu pada konduktor bas nak turun di Ben Thanh Market. Harga adalah 5000 dong sahaja. Bapak murah.

Pengangkutan di Ho Chi Minh Vietnam

Perjalanan ambil masa lebih kurang 45 minit, sebab bas ni berhenti-berhenti. Anda perlu turun di bas stop yang berhampiran dengan Ben Thanh Market tu. Biasanya konduktor bas tu akan bagi tahu nanti. Kalau tak tahu, tanya je la.

Check-in hotel Aluna Ben Thanh dalam Lorong Malaysia, bersiap semua dan nikmati dinner di salah sebuah restoren yang berada di sana. Makan nasi goreng kampung je. Sama je rasa macam kat Malaysia.

Kemudian jalan-jalan sekitar itu sahaja. Biasakan dengan suasana. Tapi suhu sama je dengan Malaysia.

Day 2 (8 Jun 2023 - Khamis)

[Tour Sungai Mekong > The Apartment Cafe > City Hall]

Untuk hari kedua, kami keluar hotel seawal 7.30 pagi untuk sertai Tour Sungai Mekong. Kami menggunakan khidmat Amin Tour & Travel. Kedai mereka pun ada dalam Lorong Malaysia, boleh tanya terus.

BACA : Pengalaman Penuh Trip Menaiki Sampan Di Sungai Mekong Delta

Untuk tour ini, kami singgah di kedai shopping untuk hentian pertama. Kemudian perlu naik bot besar untuk ke salah satu pulau yang mana terletak kilang untuk buat coconut candy.

Selesai aktiviti disana, bergerak ke satu lagi pulau yang mana terletaknya aktiviti naik bot kecil bersama pendayung. Antara aktiviti paling terkenal di Vietnam. Menyusuri anak sungai Mekong dalam masa 10 ke 15 minit. Kemudian cuba teh madu lebah dan rasa buah-buahan sambil berhibur dengan nyanyian lokal. Akhir sekali nikmati juadah makan tengah hari yang special. Semuanya telah tersedia. Selesai makan, terus naik bot kembali dan pulang ke Ho Chi Minh City.

Trip ke Sungai Mekong

Trip ke Sungai Mekong

Sampai di pusat bandar sekitar jam 5.00 petang dan masih belum gelap lagi. Jadi kami teruskan aktiviti untuk ke The Apartment Cafe. Banyak cafe yang ada di sini, anda boleh pilih dari luar dulu. Tengok mana yang berkenan.

Jadi kami buat pilihan untuk minum Saigon Coffee di 21 Grams Vegeterian Cafe di tingkat 3. Cop halal takda, tapi kami minum sahaja. Minum kopi sambil healing tengok kesesakan jalan raya dibawah.

Kawasan ini juga cukup meriah pada malam hari. Memang sesuai untuk family. Disini juga terletaknya City Hall. Ada juga tugu Ho Chi Minh disini. Boleh la cuci mata sampai malam kat sini. Best juga la tengok perangai orang Vietnam.

Tempat menarik di Ho Chi Minh Vietnam

Day 3 (9 Jun 2023 - Jumaat)

[Saigon Central Post Office > Book Street > Independence Palace > Saigon Square > Ben Thanh Market]

Untuk hari ketiga, memang full day berada di bandar Ho Chi Minh. Kami buat keputusan untuk pergi ke kawasan paling jauh dahulu iaitu di Saigon Central Post Office dengan jarak 1.5 km daripada hotel kami. Boleh je jalan kaki dalam 15 minit. Tapi taknak penat, nak gojet je mudah. RM3 je bayar.

Bangunan ini antara yang tertua di Vietnam. Anda wajib pergi dan tengok sendiri seni bina yang masuh kukuh. Pejabat pos pun masih berfungsi. Disebabkan jadi tempat tarikan pelancong, banyak kedai souvenir ada dalam Post Office ni. Datang memang bergambar je la. Masuk percuma.

Tempat menarik di Ho Chi Minh Vietnam Saigon Central Post Office

Dihadapan bangunan ini sebenarnya ada Notre Dame Cathedral of Saigon. Besar gila gereja. Tapi masa tersebut, hampir keseluruhan bangunan ditutup untuk pembaikkan. Tak nampak langsung betuk bangunan tersebut.

Selesai disitu, pergi ke lorong buku yang dipanggil Book Street. Sepanjang laluan ini, ada kedai buku. Dipayungi dengan rimbunan pokok. Ada juga cafe untuk lepak-lepak. Nak cari buku atau sekadar nak ootd je pun boleh. Nice place.

Tempat menarik di Ho Chi Minh Vietnam Book Store

Kemudian terus bergerak ke Independence Palace yang tak jauh daripada Book Street, lebih kuran 600 m sahaja. Sebuah bangunan sejarah paling terkenal di Ho Chi Minh. Antara lokasi wajib datang disini. Harga untuk tiket masuk pun 40,000 dong sahaja (~RM7). Boleh tengok macam-macam kawasan bersejarah dalam istana ini.

Tempat menarik di Ho Chi Minh Vietnam Independence Palace

Lokasi seterusnya adalah shopping centre. First berhenti di Saigon Square. Kawasan ni lengkap dengan aircond. Best nak shopping. Nak cari pakaian banyak kat sini. Cadangan boleh beli tshirt atau baju berkolar disini. Cantik gila dengan harga berpatutan.

Shopping di Ho Chi Minh Vietnam Saigon Square

Selesai ini, pergi pula ke Ben Thanh Market iaitu antara pasar terbesar di Ho Chi Minh. Macam-macam ada jual dalam ni. Sebelum balik ke Malaysia, nak cari souvenir, pakaian, kopi dan macam-macam lagi boleh datang sini. Ada yang bagi tahu, pantang larang disini, jangan datang awal pagi. Takut kena paksa beli.

Shopping di Ho Chi Minh Vietnam Ben Thanh Market

Day 4 (10 Jun 2023 - Sabtu)

Hari terakhir sebelum berangkat ke airport, sempat la pusing-pusing sekajab dalam Ben Than Market. Sekadar untuk cuci mata sahaja.

Selepas itu, order Grab Car dan terus bergerak ke Tan Son Nhat International Airport dengan harga RM30 sahaja. Perjalanan dalam 40 minit dah sampai.

Pengalaman Bercuti Di Ho Chi Minh, Vietnam

Alhamdulillah untuk kesempatan yang diberi. Aku berjaya travel 3 buah negara dalam tempoh kurang setahun. Bermula dari Instanbul, Turkiye pada Oktober 2022. Kemudian pergi ke Seoul, Korea Selatan pada Mac 2023 dan kali ini ke Ho Chi Minh, Vietnam pada Jun 2023.

Dari separa Europe, kemudian ke Asia dan akhir sekali di Asia Tenggara. Pengalaman cukup indah yang boleh dapat apabila berjalan ke negara orang. Banyak benda yang boleh kita belajar dan kita tengok, mungkin tiada di tempat kita.

Masa nak buat itinerari ni pun mudah sahaja. Sebab kakak aku pernah pergi Vietnam beberapa tahun yang lalu. Jadi ambil sikit idea dan olah ikut masa yang kita tetapkan. Nak tengok itinerari kakak aku, boleh pergi ke https://www.maivie.com/2015/07/ho-chi-minh-vietnam.html

Rumusan

Itinerari trip ke Ho Chi Minh Vietnam

Seperti yang diberitahu pada awalnya, ini kali pertama aku bawa sendiri kawan untuk melancong ke luar negara. Alhamdulillah, tiada masalah pun yang timbul selama berada disana dan sepanjang perjalanan.

Ikut pengalaman sendiri, mudah je nak pergi Vietnam terutamanya di Ho Chi Minh. Anda boleh sangat untuk solo travel. Perbelanjaan pun tak keras. Sebenarnya boleh je jimat lagi dari total RM1,000 tu. Yang penting pengalaman yang diperoleh.

Kalau cerita pasal cuaca, of coz sama je dengan Malaysia. Sebelum terbang ke Vietnam, kerap juga tengok info cuaca dan diramalkan memang setiap hari hujan. Tapi alhamdulillah, sejak disana, hanya 2 kali sahaja hujan dan tak sampai 5 minit pun.

Ikut rasa hati kalau nak repeat lagi, boleh je. Tapi mungkin ke bahagian utara Vietnam pun seperti di Hanoi, Dalat, Da Nang dan sebagainya.

Itinerari trip ke Ho Chi Minh Vietnam

1/Post a Comment/Comments

  1. thanks for sharing aiman, mesti ramai nak tahu kan... :)

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post