Review Filem Malbatt Misi Bakara Yang Padat Dengan Aksi Ketenteraan

Review Filem Malbatt Misi Bakara

Filem pertama yang aku tonton di pawagam pada bulan Kemerdekaan, Ogos ini adalah sebuah filem patriotik Malbatt Misi Bakara yang mana aku tonton pada malam sebelum tayangan rasmi iaitu pada 24 Ogos 2023.

Aku sebenarnya dah lama tunggu filem ni, lagi pula tengok pengarah ialah Adrian Teh yang mana kita semua tahu bagaimana kualiti yang dihasilkan oleh tangannya sendiri termasuk Paskal, Wira dan The Assistant.

Bukan itu sahaja, dikatakan filem ini menjadi naskah paling mahal yang pernah dihasilkan di Malaysia dimana menelan belanja sehingga RM20 juta secara keseluruhan. 70% daripadanya adalah berkaitan kos membina kelengkapan ketenteraan.

Tapi yang paling best sebenarnya ianya diadaptasi daripada kisah benar yang pernah berlaku pada tahun 1993 dalam misi menyelamatkan askar-askar Amerika Syarikat oleh Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) Mekanin dari Batalion Malaysia (MALBATT) menerusi kejadian Black Hawk.

Ya, mungkin anda pernah tonton filem hollywood Black Hawk Down terbitan tahun 2001 dahulu. Tetapi pada filem tersebut tidak diceritakan langsung tentang siapa yang menyelamatkan tentera-tentera AS yang terperangkap di Pasar Bakara tersebut kalau bukan Malbatt.

Jadi dalam filem Malbatt Misi Bakara inilah kisah sebenar yang berlaku tentang peristiwa Black Hawk Down tersebut. Dikatakan juga, hampir 90% adalah benar dan selebihnya ditambah supaya lebih drama dan tidak terlalu tegang.

Review Filem Malbatt Misi Bakara

Sinopsis Filem Malbatt Misi Bakara

Filem MALBATT Misi Bakara mengisahkan tentang perjuangan Batalion Malaysia (Malbatt) ketika terlibat dalam operasi membantu menyelamatkan tentera Amerika Syarikat yang terperangkap di dalam perang saudara yang berlaku di Pasar Bakara di Mogadishu, Somalia setelah diserang pengganas.

Dalam peristiwa tersebut, Malaysia adalah satu-satunya negara yang berani menawarkan diri dalam usaha menyelamatkan tentera Amerika Syarikat di Somalia apabila helikopter Black Hawk milik mereka ditembak jatuh. Ketika itu, tentera Amerika Syarikat telah dikepung oleh ribuan pengikut Farrah Aidid.

Barisan Pelakon

Dalam filem ini, ramai pelakon dengan nama-nama besar terlibat antaranya Bront Palarae, Shaheizy Sam, Hairul Azreen, Zahiril Adzim, Iedil Dzuhrie, Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi dan Tony Eusoff.

Selain itu, ada juga Syazwan Zulkifly, Dafi Ismail Sabri, Taufiq Hanafi, Nafiez Zaidi, Dini Schatzmann, Gambit Saifullah, Safwan Nazri, Ikhram Juhari dan Theebaan G. dan ramai lagi.

  • Bront Palarae sebagai Mejar Adnan
  • Shaheizy Sam sebagai LKPL Ramlee
  • Hairul Azreen sebagai LT Ismail
  • Zahiril Adzim sebagai LT Dahari
  • Iedil Dzuhrie sebagai LT Mustafa
  • Adlin Aman Ramlie sebagai KOL Rahman
  • Fauzi Nawawi sebagai Mejar Osman
  • Tony Eusoff sebagai Mejar Abd Samad
  • Syazwan Zulkifly sebagai LT Johan
  • Dafi Ismail Sabri sebagai LKPL Zulkifli
  • Taufiq Hanafi sebagai LKPL Fuad
  • Nafiez Zaidi sebagai LKPL Nik Zainal
  • Dini Schatzmann sebagai SGT Hamid
  • Gambit Saifullah sebagai SGT Mukhriz
  • Safwan Nazri sebagai PTE Isa
  • Ikhram Juhari sebagai LKPL Wahid
  • Theebaan G sebagai LKPL Shah

Review Filem Malbatt Misi Bakar

Aku rasa Malbatt Misi Bakara ini adalah filem aksi ketenteraan yang terbaik pernah aku tengok. Ditambah lagi berdasarkan kisah benar yang mana biasanya akan best dan menarik untuk disaksikan. Tambahan pula kita dah tahu kisahnya sikit-sikit.

Jadi dalam filem ini, kita boleh jangka apa yang berlaku. Ditambah pula dikatakan hampir keseluruhan cerita diambil dari kisah benar. Berapa ramai yang pergi, ada yang gugur dalam medan perang dan sebagainya.

Plot Cerita

Untuk jalan cerita bagi sebuah filem ketenteraan, ianya straight to the point sahaja. Jadi anda tak perlu berfikir pun kalau tonton filem ini. Ianya akan bergerak dari A, B hingga Z. Tiada flashback yang perlu dihayati pun.

Jadi sebenarnya, anda boleh enjoy dengan segala aksi yang dihidangkan oleh askar-askar yang terlibat dalam filem ini. Bermula dengan sedikit sayu, kemudian aksi perang pada gear awal. Kita akan disajikan dengan sedikit celoteh drama dan lawak. Akhirnya barulah disajikan dengan aksi sebenar sehingga tamat

Aksi Ketenteraan Yang Berterusan

Aksi ketenteraan yang sebenar bila tiada hero yang disanjung berseorangan, sebaliknya semua bekerjasama bagi menyelesaikan misi yang telah dipertanggungjawabkan meskipun ianya bakal mengacam nyawa.

Kalau tengok filem-filem aksi lain, mesti kita tengok akan ada satu dua orang yang akan di highlightkan dari awal hingga habis dan akhirnya diangkat sebagai hero. Dalam filem ketenteraan tiada, semua hero dan semua diangkat sebagai wira.

Aku rasa 80 % dari filem ini semua dalam medan peperangan dengan aksi tembak menembak. Meskipun misi mereka adalah misi menyelamat dan bukan berperang, tapi aksi tembak menembak yang disajikan macam dalam perang.

Review Filem Malbatt Misi Bakara

Jadi sepanjang cerita, boleh katakan memang anda dengar bunyi peluru dan letupan sahaja. Tapi bagi aku tonton dekat 2 jam tiada masalah pun. Tidak terganggu pun. Boleh tengok macam biasa. Bunyi pun tidak bingit.

Selain itu, anda jangan harapkan akan ada aksi berlawan dalam filem ini. Memang tiada. Nak tengok lawan-lawan, boleh la tengok Paskal ke Polis Evo dan sebagainya. Memang semua guna senjata dan alatan ketenteraan.

Dalam filem ketenteraan ini juga lah, anda boleh tengok macam mana askar menetapkan strategi sebelum memulakan apa-apa misi. Siapa duduk di depan, siapa yang membawa aset ketenteraan dan cara menggunakan perlatan tersebut.

Barisan Pelakon

Kesemua ini disempurnakan pula dengan kehadiran pelakon-pelakon berpengalaman dan kena bagi setiap watak yang mereka bawa. Watak yang digunakan dalam filem ini sebenarnya tidak menggunakan nama sebenar. Tak tahu kenapa. Rasanya lagi best, kalau guna nama sebenar. Tapi mungkin ada sebabnya la.

Kita mungkin dah biasa tengok Hairul Azreen dengan watak Paskal atau Shaheiz Sam dengan watak polis. Tapi dalam filem ini, memang dieorang seperti seorang tentera yang menjalankan misi atas arahan yang diberi. Bawah dengan baik sekali.

Meskipun ada yang screen time mereka tidak lama, tapi memberi kesan. Bawa dengan baik sekali. Bagi aku yang paling baik bawa watak askar ni, Bront Palarae, Tony Eusoff, Adlin Aman Ramlie dan paling aku suka Fauzi Nawawi.

Fauzi Nawawi dengan muka, suara dan lontaran dialog memang padu betul. Tapi dalam misi menyelamat tu dia takda, jadi screen time dia tak banyak. Tapi sebenarnya dah cukup. Ada lebih, mungkin lagi mantap la kot.

Review Filem Malbatt Misi Bakara

Penutup

Walaupun secara keseluruhan agak baik filem Malbatt Misi Bakara ni, tapi untuk CGI kurang sikit la. Mungkin bahagian ini perlukan lebih kos kot. Terutamanya pada bahagian akhir. Sebenarnya di buat situ, sebab nak ikut cerita sebenar.

Selain itu, untuk aksi tembak menembak tidak terlalu ganas dengan percikan darah ke headshot dan sebagainya. CGI aksi tembah menembak yang diberikan tidak keterlaluan. Tapi masih lagi nampak cantik.

Untuk aksi jenaka, masih ada tapi tidak keterlaluan. Ok nice. Adrian Teh tambah sikit drama terutamanya pada bahagian akhir. Ok la juga. Takda la cerita selesai macam tu lebih misi menyelamat berjaya kan.

Sebelum ini biasa juga tengok filem yang mana anggota guna walkie-talkie dan akan gunakan over and out. Kali ini first time dengar dieorang guna ganti dan habis.

Secara keseluruhan filem ini terbaik dan buat kali pertama aku tengok filem bila rasa bangga jadi rakyat Malaysia. Kalau anggota Malbatt sebenar ni aku rasa lagi-lagi bangga apabila selepas 10 tahun misi tersebut, barulah mereka diiktiraf secara rasmi.

Jadi korang semua kena pergi tengok sendiri filem ni. Mungkinlah tidak sempurna secara keseluruhan, tetapi sangat berbaloi untuk anda menonton di wayang. Dikatakan kutipan tayangan awal ni dah cecah RM1 juta. Filem ni sepatutnya boleh cecah RM100 juta.

Untuk info, filem Malbatt Misi Bakara ini juga menjadi filem tempatan pertama yang ditayangkan dalam format IMAX. Jadi mana nak merasakan lebih intense dengan kualiti yang lebih baik, boleh la tengok format ni. Tapi format 2D pun dah sedap.

Selain itu, pada akhir filem akan ditayangkan kandungan asli tentang surat, gambar dan anggota Malbatt yang sebenar. Kat sini la anda semua boleh tahu tentang siapakah yang sebenar terlibat dalam misi penyelamat ini.

Rasanya takda dah mid atau post-credit. Lepas habis tayangan untuk kandungan terakhir tu, baru boleh balik. Btw filem ni PG13, jadi anak-anak sekolah menengah boleh la tengok. Dia tak ganas sangat pun, nampak real dan sebagainya.

Rating Malbatt Misi Bakara : 9/10

Review Filem Malbatt Misi Bakara

Aiman
Aiman Suka kongsikan info menarik dan pengalaman sendiri berkaitan pelbagai perkara | aiman6991@gmail.com

Post a Comment for "Review Filem Malbatt Misi Bakara Yang Padat Dengan Aksi Ketenteraan"