Kenapa Surah At-Taubah Tiada Lafaz Bismallah Pada Permulaan Ayat?

Kenapa Surah At-Taubah Tiada Lafaz Bismallah Pada Permulaan Ayat?

Biasa kita baca al-Quran, dipermulaan pasti dimulai dengan lafaz Bismillah bagi semua surah kecuali satu surah je tiada lafaz ini pada permulaan ayat. Surah tersebut adalah Surah at-Taubah yang merupakan surah ke 9 di dalam al-Quran dan mengandungi 129 ayat.

Surah at-Taubah juga disebut dengan nama-nama lain seperti di dalam tafsir Imam al-Khatib Syirbini seperti Bara’ah, al-Muqashqishah, al-Buhusah, al-Muba’sirah, al-Hafirah, al-Fadhihah, dan surah al-Azab

Adakah tiada lafaz Bismillah ditulis di awal surah ini bermaksud kita tidak dibenarkan untuk membaca? Atau adakah ianya sekadar tidak ditulis sahaja dan boleh je baca seperti biasa? Baca bismillah dan mulakan dengan ayat pertama.

Baca Juga : Antara Haiwan-Haiwan Yang Disebut Dalam Al-Quran

Untuk menjawab persoalan ini, ikuti rujukan daripada Pejabat Mufti Wilayah sendiri berkaitan 'Membaca Bismillah Ketika Membaca Surah at-Taubah'.

Tiada Lafaz Bismillah Pada Surah at-Taubah

Kenapa Surah At-Taubah Tiada Lafaz Bismallah Pada Permulaan Ayat?

Mufti Wilayah memulakan penerangan dengan memberikan 5 perbezaan pendapat Ulama berkenaan dengan sebab tidak di letakkan lafaz Bismillah pada permulaan surah iaitu melalui tafsir Imam al-Qurtubi. 

Pandangan pertama menyatakan bahawa, golongan Arab pada zaman Jahiliyyah apabila di antara mereka terdapat kaum yang melakukan perjanjian kemudian ingin memutuskan perjanjian itu, maka mereka tidak akan menulis lafaz basmalah pada surat untuk memutuskan perjanjian itu. Oleh itu, surah Bara’ah (al-Taubah) diturunkan bertujuan untuk memutuskan perjanjian di antara Baginda Nabi SAW dengan kaum Musyrikin. Di mana Baginda Nabi SAW mengutuskan Saidina Ali RA membaca surah ini kepada mereka tanpa memulakannya dengan lafaz Basmalah.

Pandangan yang kedua, Imam Qurtubi menukilkan athar daripada Ibnu Abbas RA, bahawa ia bertanya kepada Saidina Usman RA berkenaan dengan tidak diletakkan lafaz Basmalah pada Surah al-Taubah. Maka Saidina Usman RA menceritakan bahawa ketika diturunkan sesuatu ayat maka Baginda SAW akan memanggil tukang tulisnya untuk menulis dan meletakkan sesuatu surah serta ayat pada tempat yang ditentukan oleh Baginda SAW. Saidina Usman menceritakan lagi bahawa Surah al-Anfal merupakan surah yang terawal diturunkan dan surah Bara’ah (al-Taubah) merupakan surah yang terakhir diturunkan di dalam al-Quran. Begitu juga, isi kandungan serta penceritaan di dalam kedua surah ini adalah hampir sama. Selain itu, Baginda Nabi SAW tidak menjelaskan kepadanya bahawa surah al-Anfal dan Surah al-Taubah merupakan satu surah yang sama atau tidak. Oleh itu, Saidina Usman RA berpendapat (menurut sangkaannya yang kuat) bahawa surah al-Taubah merupakan sebahagian daripada surah al-Anfal, oleh sebab itulah Saidina Usman RA tidak meletakkan di antara keduanya lafaz Basmalah.

Mengikut pandangan yang ketiga, terdapat riwayat daripada Saidina Usman RA, menyatakan bahawa surah al-Taubah tidak tertulis baginya lafaz Basmalah kerana surah ini merupakan kesinambungan daripada surah al-Baqarah oleh kerana itulah tidak ditulis di antaranya lafaz Basmalah. Begitu juga apa yang disebut oleh Said bin Jubair RA, menyatakan surah al-Taubah  menyerupai surah al-Baqarah.


Pandangan keempat. Imam Qurtubi menukilkan pandangan Abu Ismah dan selainnya, mereka menyatakan, pada zaman Saidina Usman ketika dihimpunkan al-Quran, terdapat perselisihan para sahabat Rasullullah SAW berkenaan dengan surah al-Taubah. Sebahagian daripada mereka menyatakan bahawa surah al-Taubah dan al-Anfal merupakan satu surah dan sesetengah daripada mereka menyatakan dua surah yang berbeza. Oleh itu, Saidina Usman mengambil jalan tengah dengan tidak mencantumkan kedua-dua surah ini kemudian beliau tidak meletakkan lafaz Basmalah. Dan ini bertujuan untuk membenarkan pendapat kedua-duanya.

Pandangan kelima, Imam Qurtubi menukilkan riwayat dairpada Abdullah bin Abbas RA ketika beliau bertanya kepada Saidina Ali RA berkenaan hal tidak ditulis lafaz Basmalah pada surah al-Taubah. Justeru Saidina Ali RA menyatakan bahawa lafaz Basmalah merupakan lafaz keamanan dan surah al-Taubah diturunkan kerana peperangan. Al-Mubarrid menyatakan bahawa tidak boleh dihimpunkan di antara keduanya (iaitu Basmalah dan Surah al-Taubah). Kerana Lafaz Basmalah merupakan rahmat dan Bara’ah di turunkan kerana kemarahan.

Daripada kesemua pendapat daripada ulama ini, Imam Qurtubi menyimpulkan tiadanya lafaz Bismillah pada permulaan surah at-Taubah adalah kerana wahyu daripada Jibril AS tidak di datangkan ketika ayat ini diturunkan 

Lafaz Bismillah Ketika Membaca al-Quran

Kenapa Surah At-Taubah Tiada Lafaz Bismallah Pada Permulaan Ayat?

Jika tadi berkenaan penulisan kalimah Bismillah, kali ini adalah lafaznya. Jadi jika tidak ditulis, adakah salah untuk lafazkannya?

Lafaz Bismillah merupakan lafaz yang diucapkan untuk mensucikan Allah SWT dan ianya disunatkan untuk membaca ketika memulakan sesuatu urusan atau amalan harian seperti sabda Nabi SAW:

كلُّ أمرٍ ذي بالٍ لا يُبدَأُ فيهِ ببسمِ اللهِ الرحمنِ الرحيم فهو أقْطَعُ

Maksudnya: Setiap perkara yang tidak dimulai dengan memuji Allah, maka amalan tersebut akan terputus. Riwayat Ibnu Majah (1894)

Di dalam hal membaca al-Quran, para ulama menganjurkan supaya membaca lafaz Ta’awuz dan lafaz Basmalah. Ini seperti mana Firman Allah SWT:

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّـهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam. (Surah al-Nahl, 98)

Bacaan Bismillah Pada Permulaan Setiap Surah

Begitu juga, dianjurkan untuk membaca Basmalah pada memulakan bacaan surah seperti yang dilakukan Baginda Nabi SAW di dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA katanya, ketika Nabi SAW terjaga dari tidurnya lalu Baginda SAW tersenyum. Maka kami bertanya, Kenapakah kamu tersenyum wahai Rasulullah? Kemudian Rasullullah SAW bersabda:

‏"‏ أُنْزِلَتْ عَلَىَّ آنِفًا سُورَةٌ ‏"‏ ‏.‏ فَقَرَأَ ‏"‏ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ  (إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ * فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ * إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الأَبْتَرُ)

Maksudnya: Baru sahaja diturunkan ke atas aku satu surah. Lalu Baginda SAW membaca “Basmalah” kemudian Baginda SAW terus menyambung dengan bacaan surah al-Kauthar.

Tidak Di Lafazkan Bismillah Dengan Beberapa Hujah

Berkaitan dengan membaca Bismalah pada permulaan surah al-Taubah, ulama berbeza pendapat berkenaan dengannya.

Ibnu Hajar dan Khatib Syirbini mengharamkan pembacaan Basmalah pada awal surah al-Taubah disebabkan ia tidak ditulis pada mushaf. Ini kerana ia diturunkan ketika peperangan dan makruh membacanya ketika di pertengahan surah.

Imam al-Ramli memakruhkan pembacaan Basmalah di awal surah dan sunat dipertengahan surah.


Di dalam hal membaca lafaz Basmalah di awal surah al-Taubah, Imam Nawawi menyatakan di dalam kitabnya, bahawa selayaknya untuk dijaga dengan membaca lafaz Basmalah pada setiap permulaan surah kecuali surah Bara’ah.

Selain itu, pandangan al-Ja'bari menyatakan disyariatkan meninggalkan bacaan lafaz Basmalah pada permulaan surah al-Taubah kerana diturunkannya disebabkan peperangan. Dan terkandung di dalamnya keburukan sifat golongan munafik. Oleh itu, tidak disyariatkan membaca Basmalah pada pertengahan surah seperti membaca pada awalnya.

Kesimpulan

Melalui penerangan yang dibuat oleh Mufti Wilayah seperti diatas, beliau telah simpulkan bahawa membaca lafaz Bismillah ketika hendak memulakan surah at-Taubah adalah tidak dituntut oleh syarak kerana tidak ditulis padanya di dalam al-Quran.

Selain itu, sebab diturunkan surah ini bertujuan untuk peperangan dan lafaz Basmalah merupakan lafaz rahmah. Oleh itu, tidak sepatutnya dihimpunkan kedua-dua di dalam satu masa yang sama.

Justeru sebaiknya kita disarankan membaca lafaz Ta’awuz (a'zubillahhiminasyaitonirrajim) pada permulaan bacaan surah al-Taubah

Wallahula'lam...


8/Post a Comment/Comments

  1. Ulangkaji yg baik mengenai quran...jom tingkatkan bacaan quran menjelang 15 ramadhan ni

    ReplyDelete
  2. Pernah baca isu ini di web. Bila baca di blog aiman rasa makin jelas. TQ.

    ReplyDelete
  3. Pernah terbaca tapi tak hadamkan.
    Terima kasih atas perkongsian sekarang baru jelas dan dapat pencerahan.

    ReplyDelete
  4. terima kasih perkongsiannya. Pernah haritu dengar ustaz cakap pasal surah ni takde kalimah bismillah. satu2 nya surah yang takde kalimah ni kan..

    ReplyDelete
  5. wah baru mama tau.. tq aiman for sharing

    ReplyDelete
  6. terima kasih share, baru tau semua ni :)

    ReplyDelete
  7. Terima kasih di atas perkongsian..

    ReplyDelete
  8. alhamdulillah
    perkongsian yang sangat bagus:)

    ReplyDelete

Post a comment

Recommended